my counter

ikut? silakan ^^v

Monday, June 11, 2012

Lelakiku.. Abah




MEMANDANG sinar matanya, dapat dirasai kasih dan sayang yang tidak berbelah bahagi. Matanya redup. Pandangannya sayup, tampak manis biarpun tidak senyum. Kedut di mata dan sekitar wajah ditutupi dengan nur yang bercahaya. Wajahnya kelihatan muda tanpa perlu memakai set rawatan muka. Rambutnya yang nipis ditutupi dengan ketayap kesayangan. Itulah lelakiku. Lelaki yang menawan hati ini, yang menjadi idola aku sejak dulu. Pelindung dan tempat aku bermanja. Yang tidak pernah mengasari tubuh ini. Yang memimpin dan memelukku ketika aku bersedih. Yang meniupkan kata-kata semangat ketika aku hampir berputus asa menghadapi dugaan hidup. Yang tidak jemu menghubungi apabila jarak memisahkan kami. Dia seperti tahu bahawa aku menghadapi saat-saat getir.


Dialah lelaki itu.
Abah.

Masih segar lagi di ingatan sekitar tahun 1995 aku yang masih kecil berlari-lari mendapatkannya di luar sekolah. Gembira aku mendapatkan Motor Honda warna maroon hakmilik IPD Bukit Aman. Bukan motor itu yang aku gembirakan, orang yang menunggangnya yang lebih menarik minatku. Biasanya aku akan naik bas, tapi untuk petang itu, abah mengambilku. Rasa gembira yang teramat sangat.

      Aku gembira kerana aku nampak sesuatu atas bakul motor.
      Abah memberikan bungkusan tersebut. Buku cerita Himpunan 366 Cerita Rakyat Malaysia!
      Aku melompat kegembiraan. Hadiah sempena dapat nombor dua dalam kelas. Abah memang amat memahami hobiku yang satu itu!
      "Tahniah ya.. belajar elok-elok..."
      Aku bersalam dengan abah dan mengucup kedua pipinya. Best ever moment in my life, dan aku takkan lupa senyuman abah yang gelihati melihat aku yang terlompat-lompat kegembiraan.





       Masih adakah buku tersebut sekarang? Pada waktu itu, buku cerita ini bersaiz A4, berkulit tebal dan hard cover juga tebal. Memang sangat seronok dibuat bahan bacaan. Harganya mahal, RM86 di bawah RM100. Harga kini cuma RM39.90, berpatutan dengan kulit buku yang nipis dan cerita yang diringkaskan, mungkin.
       Apabila diri ini melihat kembali masa lalu, dapat aku simpulkan bahawa kasih sayang seorang bapa adalah meraikan kegembiraan anaknya dan memberikan 'hadiah' yang bersesuaian dengan minatnya. Hidupku tidak mewah tapi mewah dengan kasih sayang mak dan abah. Makan cukup, baju ada, kasut bertukar, biarpun kehidupan serba sederhana. Biarpun abah cuma kerja polis yang bukan berpangkat. Tapi aku bahagia. Kami sekeluarga bahagia.


        Saat aku bergandingan dengan abah ke mana-mana, hatta menemaninya ke kedai jahit atau kedai bunga, ramai orang menegur.
        "Amoi you bertuah. I takut dengan bapa I. Bagus bapa you sayangkan you." Aku cuma tersenyum. Apakah semua orang tidak merasai apa yang kurasa? Adakah mereka tidak bahagia dengan apa yang mereka ada?
         "Bapa I garang. I takut. Sampai sekarang I takut. You bertuah." kata auntie Cina itu lagi apabila aku meminta pendapat abah tentang bunga yang kuinginkan.
          Aku beransur faham. Tak semua orang 'bertuah' seperti yang mereka lihat kepada orang lain. Fitrah manusia, semua inginkan kebahagiaan. Kebahagiaan itu datang dari kasih sayang. Apabila kita memberi kasih, orang lain akan memberi bahagia. Bukankah begitu?


          Ya, aku bertuah kerana lahir berbintikan nama abah. Lelaki ini amat besar jasanya. Sekiranya orang  membandingkan kami di masa sekarang, anda harus melihat di masa lalu. Gembiranya kami kerana dengan apa yang kami ada. Bermula dengan mak dan abah yang merasai kesusahan, kami balas dengan kesenangan, insyaAllah. Ketika ini aku amat kagum dengan mak dan abah yang cukup sempurna di mataku. They complete each other. 


Aku punya seorang emak.
Aku punya seorang abah.
Aku perlu 'ada' kelembutan seorang emak dan kekuatan seorang abah.


          Sehingga kini, aku tidak pernah membayangkan hidup tanpa mereka. Tapi masa itu akan tiba. Ya Tuhan... bagaimana aku boleh menjadi seperti abah yang kehilangan kedua ibu bapanya? Bagaimana menjadi seorang emak yang boleh berdikari dan kuat tanpa sokongan kedua ibu bapanya?


Abah, terima kasih atas segalanya.
Perlindunganmu.
Sikap prihatinmu.
Ketika aku sakit, kau yang 'lebih sakit'.


          Melihat redup mata itu, airmata ini hampir tumpah. Sesungguhnya aku amat menyayangi kedua-dua insan ini. Sejauh manakah kasih sayangku pada mereka? Bukan pada duit yang dihulur tiap-tiap bulan. Bukan pada keseronokan berjalan.
          Sayangnya aku pada mereka sehingga aku ingin berterusan berlaku baik pada keduanya, menyenangkan hati keduanya, menggembirakan hati keduanya.



          Ingat asal usulmu Nis. Sedar diri. Kita bukan orang senang. Itu pesan emak.
          Tak perlu mendabik dada. Kerana semuanya milik Dia. Bukan kita yang punya.




Semoga ALLAH limpahkan keredhaan dan keberkatan kepada kita sekeluarga.
Amin Ya Rabbal'Alamin.

No comments: